JOHOR BAHRU: Seperti terbayang-bayang lebih 77 ekor kambing dalam kandang ladang ini, dan seolah-olah masih terngiang-ngiang ia mengembek..., kata seorang anak peneroka generasi kedua yang juga pengurus projek ladang kambing Boer, Sualman Ahmad, 48, yang sebak mengenangkan kambing diternak tidak sampai setahun, disamun sekumpulan lelaki dipercayai warga tempatan pada malam Sabtu lalu.
Sualman berkata, beliau mempunyai dua pekerja Indonesia untuk menjaga kambingnya sejak memulakan projek berkenaan November tahun lalu dan setiap hari akan menjenguk kambingnya.
Malangnya pada malam Sabtu lalu, tanpa disangka sekumpulan penyamun dipercayai lebih 12 orang mencuri 47 kambing induk dan 30 anak kambing selepas mengikat mulut dan kaki kedua-dua pekerjanya antara jam 10 malam itu hingga 3 pagi keesokan harinya.
Katanya, beliau dimaklumkan pekerjanya, penyamun yang bersenjatakan parang, pisau, dan besi tajam memukul mangsa dan mengikat kaki serta tangan kedua-dua lalu membiarkan mereka dalam stor makanan.
Sebuah lori tiga tan dipercayai memasuki ladang itu lalu mengangkut kambingnya sebelum selesai kira-kira jam 3 pagi.
Selepas mendapat tahu kejadian, Sualman membuat laporan di Balai Polis Setia Indah kira-kira jam 6 pagi pada Ahad.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sambil meminta orang ramai tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian itu.
Beliau percaya kumpulan penjenayah itu adalah satu sindiket yang sudah membuat risikan sebelum ini kerana tahu selok belok dan kawalan keselamatan di kandang kambingnya.
Selain ternakan, penjenayah berkenaan juga melarikan sebuah mesin perancik, generator elektrik dan sebuah mesin pemotong rumput.
Mereka seperti tahu bahawa ada dua penjaga saya bertugas di kandang kerana mereka menunggu dua jam untuk menangkap dan mengikat seorang lagi penjaga yang ketika itu keluar sebentar ke rumah pekerja, katanya.
Katanya, sejak itu walaupun menyedari kambing yang dijaga kini sudah tiada, beliau masih ke ladang setiap hari menatap kandang yang kosong berkenaan.
Saya sangat sedih. Walaupun saya tahu kandang sudah kosong, saya masih pergi tengok kandang ini. Perasaan saya hanya Tuhan saja yang tahu.... cukup sebak, katanya sayu.
Bagaimanapun, katanya, dalam kelicikan sekumpulan penjenayah menyamun kambingnya, seekor anak kambing berusia kira-kira sebulan setengah yang diasingkan dari kambing lain kerana masih kecil selepas kematian ibu, tidak diambil penyamun berkenaan.
Saya agak mereka tidak nampak dia (anak kambing), kerana tempatnya dikelilingi plastik. Saya bersyukur seekor masih selamat dan setiap hari saya berkunjung melihat anak kambing ini yang kini diletakkan di ladang kambing rakan, katanya sambil mendakap anak kambing itu.
Katanya, beliau kerugian lebih RM200,000 hasil pinjaman yang diberikan tanah rancangan itu bagi penternakan kambing berbulu putih di badan dan coklat di kepala terbabit.
Katanya, beliau kini hanya berharap aset ladangnya dapat dinilai Felda bagi permohonan pinjaman baru dari tanah rancangan berkenaan supaya projek dapat diteruskan.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sambil meminta orang ramai tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian itu.